fbpx

Doktor didakwa jenayah seksual terhadap pembantu klinik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang doktor sebuah klinik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita yang juga pembantu klinik itu minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 35 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa telah merogol seorang wanita berusia 22 tahun dalam bilik stor sebuah klinik di Pantai Dalam di sini antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi pada 15 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii terhadap mangsa sama pada tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kedua-dua pertuduhan itu tidak boleh dijamin selain kesalahan yang dilakukan serius.

Bagaimanapun peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

“Tertuduh merupakan bapa tiga anak dengan dengan anak bongsu yang baru lahir. Pihak pembelaan juga tiada bantahan sekiranya mahkamah meletakkan apa-apa syarat tambahan,” kata peguam itu.

Mendengar perkara itu, Hakim Mohd. Zaki kemudian bertanya adakah tertuduh masih berkhidmat di klinik itu (tempat kejadian), dan tertuduh menjawab tidak.

“Saya tidak lagi beramal (berkhidmat) di klinik tersebut,” kata tertuduh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan.

Syarat-syarat tambahan itu ialah pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, tidak menganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 April ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI