fbpx

Dijemput Ilahi pada hari lahir, remaja maut motosikal langgar besi penghalang pengawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKEPLY menunjukkan gambar Muhammad Aiman Amirul yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19.3 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi malam tadi.

KOTA TINGGI – Seorang remaja meninggal dunia pada hari lahirnya selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan di Kilometer 19.3 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi malam tadi.

Mangsa, Muhammad Aiman Amirul Rashid, 19, difahamkan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Bukit Pelali menuju rumahnya di Felda Air Tawar 5.

Bapa tiri, Zulkeply Ayob, 40, berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa anaknya itu pada pukul 9 malam selepas diberitahu isterinya.

Katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian bersama isteri dan mendapati anak bongsu dari empat beradik itu sudah tidak bernyawa.

Menurutnya, lebih menyedihkan semalam adalah hari lahir arwah dimana dia antara yang sempat memberikan ucapan melalui aplikasi WhatsApp pada tengah hari.

“Saya sudah anggap arwah macam anak saya sendiri kerana sudah menjaganya sejak usia enam tahun. Saya sempat ucap selamat hari lahir tengah hari semalam kepada dia masa itu dia jawab ok pa.

“Tidak sangka pula malam tadi isteri beritahu dia maut dalam kemalangan. Saya memang selalu pesan kepada dia agar berhati-hati bawa motosikal tambahan pula sekarang musim hujan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima makluman kemalangan itu pada pukul 8.40 malam.

“Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit menghala ke arah Kota Tinggi. Setibanya di lokasi kemalangan motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar ‘guard rail’ yang berada di bahu jalan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI