PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri yang akan disalurkan pada minggu hadapan.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya amat terharu dengan keprihatinan dan kepekaan Perdana Menteri terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Cuepacs amat terharu dengan keprihatinan dan kepekaan Perdana Menteri terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin kepada penjawat awam walaupun baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan hujung tahun lepas serta pemberian BKK Persekolahan Februari yang lalu.
“Namun begitu, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri kekal sebagai satu inisiatif yang amat dihargai dan tradisi yang sangat dinanti-nantikan oleh semua penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka serta keluarga terpelihara menjelang perayaan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambah Adnan, pengumuman itu membuktikan bahawa kepimpinan negara mengiktiraf peranan penting penjawat awam sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan yang terus berkhidmat dengan dedikasi dan integriti.
Katanya, ia juga mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap prestasi serta sumbangan cemerlang penjawat awam dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.
“Cuepacs percaya bahawa insentif ini bukan sahaja akan meringankan beban kos persiapan Aidilfitri, malah turut menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang serta berintegriti.
“Cuepacs turut menyeru agar para penjawat awam bijak dalam menguruskan kewangan yang diterima ini dan menggunakan bantuan tersebut sebaiknya di samping menggalakkan penjawat awam untuk turut menyokong peniaga-peniaga kecil di bazar Ramadan serta pasar tempatan sebagai usaha membantu merancakkan ekonomi rakyat menjelang sambutan Aidilfitri,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE