PETALING JAYA – Keunikan suasana Ramadan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu mendorong seorang wanita memulakan perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Kelantan sejauh lebih 600 kilometer (km) untuk menyewa hotel berdekatan bagi merasai pengalaman berbuka puasa dan menunaikan solat sunat tarawih di situ.
Siti Raudhah Nordin, 42, berkata, perjalanan ke Masjid Muhammadi tidak dirancang kerana bimbang perancangan awal mungkin tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya dia dan suami membuat keputusan untuk ke sana dalam minggu pertama Ramadan.
“Memandangkan ketika itu kami berada di rumah saudara di Pahang, jadi ada sebab untuk saya ‘lajak’ sedikit pergi ke Kelantan.
“Kami memilih untuk menginap di hotel berhampiran masjid tersebut selama satu malam bagi merasai sendiri kemeriahan iftar dan solat di situ.
“Saya sendiri tidak tahu mengapa hati ini tergerak untuk ke Masjid Muhammadi, walaupun terdapat masjid lain yang lebih besar dan lebih dekat dengan tempat tinggal kami.
“Saya sendiri tidak pernah sampai ke sini sebelum ini, hanya menontonnya dari media sosial,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, kemungkinan juga Allah yang menggerakkan hati dia dan suami untuk ke sana.
Siti Raudhah yang merupakan seorang guru turut berkongsi pengalaman berbeza apabila melihat ramai individu yang datang menginfakkan makanan untuk berbuka puasa.
“Sekitar pukul 6.30 petang hingga hampir 7 malam, ramai yang datang memberikan makanan. Pelbagai juadah disediakan dan kami tidak perlu bersusah payah mencarinya kerana makanan dihantar terus kepada jemaah. Pelbagai aneka kuih dan air balang turut disediakan,” katanya.
Sementara itu, suasana di dataran Masjid Muhammadi yang dipenuhi jemaah turut memberikan pengalaman istimewa kepada Siti Raudhah.
“Memang ramai orang berbuka puasa di situ.
“Saya yakin bukan hanya penduduk tempatan yang hadir, tetapi juga mereka dari luar Kelantan turut datang kerana ingin merasai pengalaman sama seperti saya,” katanya. -KOSMO! ONLINE