fbpx

Banjir di Johor bertambah buruk, 11,776 berlindung di 97 PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba melakukan pemantauan banjir di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor kembali merekodkan pertambahan pada pukul 4 petang ini dengan seramai 11,776 orang daripada 3,544 keluarga masih ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 10,629 mangsa membabitkan 3,169 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

Katanya, Johor Bahru kembali merekodkan pertambahan mangsa banjir iaitu daripada 3,664 orang daripada 1,139 keluarga pada tengah hari tadi kepada 4,384 orang daripada 1,407 keluarga.

“PPS di Johor Bahru yang masih aktif kekal sebanyak 27 buah sehingga petang ini.

“Kluang pula kedua terjejas dan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 2,669 orang daripada 774 keluarga berbanding 2,361 orang daripada 702 keluarga tengah hari tadi. Mereka kini ditempatkan di 27 PPS di daerah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, Pontian turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang meningkat kepada 1,791 orang daripada 491 keluarga di 20 PPS, berbanding 1,668 mangsa daripada 462 keluarga, tengah hari tadi.

“Di Kulai juga mangsa banjir meningkat daripada 1,157 orang (356 keluarga) tengah hari tadi kepada 1,261 orang (387 keluarga) yang masih di lapan PPS,” katanya.

Menurut Azmi, hanya Kota Tinggi yang menunjukkan sedikit penurunan daripada 1,779 mangsa daripada 510 keluarga pada tengah hari tadi, kepada 1,671 orang daripada 485 keluarga selepas dua PPS ditutup menjadikan kini hanya 15 PPS aktif di daerah itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI