fbpx

Banjir: 98 PPS dibuka, mangsa terus meningkat 10,763

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba memindahkan beberapa penduduk di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru yang terjejas banjir.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan peningkatan besar apabila seramai 10,763 mangsa telah ditempatkan di 98 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat pukul 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding seramai 3,694 mangsa direkodkan pada pukul 8 malam, semalam.

Katanya, jumlah mangsa terkini itu melibatkan 3,018 buah keluarga yang menetap di lima daerah terjejas seluruh Johor ketika ini.

“Johor Bahru merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 4,291 mangsa ditempatkan di 27 buah PPS yang telah dibuka. Ini diikuti Kluang (2,163 mangsa, 27 PPS); Kota Tinggi (1,762 mangsa, 17 PPS); Pontian (1,395 mangsa, 19 PPS) serta Kulai (1,152 mangsa, lapan PPS).

“Kejadian banjir yang berlaku ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa kecederaan atau kematian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Azmi, tujuh sungai di negeri ini masih menunjukkan paras air bahaya antaranya Sungai Lenik di Batu Pahat; Sungai Kahang di Kluang; Sungai Siam dan Sungai Siku di Kulai serta Sungai Skudai dan Sungai Tiram di Johor Bahru.

“Selain itu, dua laluan ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan iaitu Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama, kedua-duanya di Kota Tinggi,” ujarnya.

Azmi turut memberitahu, Jabatan Metereologi memaklumkan amaran hujan lebat berterusan masih dikeluarkan bagi daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Kluang hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI