PETALING JAYA – Pahit yang harus ditelan, pelakon Kilafairy mengakui Ramadan kini sangat berbeza buat dirinya sejak pemergiaan ibu tercinta, Allahyarham Rohana Jalil sejak dua tahun lalu.
Terkenang sewaktu hayat penyanyi Rayuanku itu masih ada, Kila atau nama penuhnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, mengakui banyak momen bersama ibunya pada bulan Ramadan yang sering menjentik emosinya.
“Ma (panggilan buat arwah ibunya), bulan puasa tanpa awak sangat sukar.
“Menanti pintu diketuk, dikejutkan untuk bangun sahur dan suap saya nasi goreng planta mama.
“Tapi awak sudah tiada,” katanya dalam platform Thread semalam.
Sementara, dalam perkongsian berbeza, bintang filem Hoore Hoore itu memberitahu tidak membeli busana baru bagi menyambut Syawal tahun ini.
“Tak, saya tidak membeli baju raya.
“Apalah makna raya saya tanpa ibu saya?” luahnya lagi.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan semangat buat Kila agar kuat menerima pemergian ibu tercinta.
“Kalau rindu, panjatkan banyak doa buat arwah ibu. Semoga kalian bertemu di syurga.
“Ingatkan saya sahaja rasa begini, rupa-rupanya Kila juga. Semoga semua yang kehilangan ahli keluarga terus kuat.
“Terus kuat Kila, tak mengapa nak luahkan emosi itu. Ramadan tanpa seorang ibu memang sangat menyedihkan,” komen netizen.
Terdahulu, Allahyarham Rohana yang juga penyanyi popular 1980-an meninggal dunia pada 21 Jun 2023 akibat masalah kebocoran usus. – KOSMO! ONLINE