SHAH ALAM – Aneka Walk akan menjadi ikon baharu pelancongan dengan mengabungkan elemen hab gaya hidup, kesenian dan perniagaan di bandar raya ini.
Projeknya dengan pelaburan lebih RM50 juta hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan KRU Entertainment tersebut akan dilancarkan pada September ini.
Pengarah Projek Signature PKNS, Azilah Arasad @ Arshad berkata, Aneka Walk bukan hanya projek pembangunan sebaliknya lambang transformasi Shah Alam menjadi sebuah bandar lebih moden dan inklusif.
Katanya, ia menggunakan teknologi dari Singapura dengan bumbung akan diimport dan telah diuji ketahanan beberapa cuaca.
“Ia merupakan satu komponen baru dengan menyediakan lot kekal ruang niaga dan kiosk sebagai lokasi baharu bersantai.
“Melalui fleksibilitinya nanti yang menyokong usahawan tempatan akan meransang dan merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis iftar Setulus Kasih PKNS bersama anak-anak Rumah Ilmu Chow Kit dan penyerahan mock-up cheque kepada Pengerusi Pertubuhan Jejak Jalanan, malam tadi.
Jelas Azilah, Aneka Walk yang beroperasi di Seksyen 14 tersebut juga dijangka menarik ramai pengunjung dengan pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) juga pada September ini.
“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menyediakan laluan terus pejalan kaki dari hentian LRT3 berhampiran ke Aneka Walk,” katanya.
Aneka Walk akan menawarkan 150 lot perniagaan dan mampu menampung 3,000 pengunjung dalam satu masa.
Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, Aneka Walk bukan sekadar destinasi hiburan namun platform inovasi dalam gaya hidup, perniagaan dan teknologi digital.
Ujarnya, semua semua elemen pelancongan dan kebudayaan akan digabungkan dengan aktivitinya akan berlainan setiap minggu.
“Ia juga akan menjadi hab kebudayaan berteraskan muzik yang akan beroperasi 10 pagi hingga 10 malam namun insya-Allah pada hujung minggu dilanjutkan selepas perbincangan dengan PKNS dan MBSA.
“Pastinya ia akan mencerminkan wajah baharu yang ingin diwujudkan di Shah Alam dan sesuai dengan budaya masyarakat kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE