KUALA LUMPUR – Masih meneruskan aktiviti bermanfaat, selebriti versatil Alif Satar bakal menganjurkan kempen Qiamullail Macam Jumaat yang akan diadakan di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya, Selangor esok.
Menurut Alif atau Alif Mohd. Satar, 35, idea tersebut tercetus selepas penyanyi Faizal Tahir menghubunginya sekali gus mengambil inisiatif kembali memberi kesedaran mengenai peperangan di Palestin.
“Hari Sabtu ini saya akan buat Qiam Macam Jumaat di Masjid Al-Falah USJ 9. Semua ini bermula sebab Faizal Tahir telefon.
“Sekarang pula Israel serang balik pada bulan Ramadan ini. Mungkin kita dah selesa sampai terlupa ada umat Islam yang dibunuh dan ditindas.
“Saya nak kejut balik, kempen ini tak berhenti tetapi masih berterusan cumanya kali berbeza sebab qiam,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis berbuka puasa Hong Leong dan Alif Satar, semalam.
Istimewanya kali ini, penyanyi lagu Cukup Indah itu memberitahu Faizal akan memberi perkongsian dalam program terbabit selain tidur bersama-sama di dalam masjid.
“Kita akan solat tarawih, kemudian ada tazkirah dan moreh yang disediakan masjid. Seterusnya sesi perkongsian daripada Faizal Tahir mengenai pengalaman membantu pelarian di tempat yang pernah dilawati.
“Mungkin ramai yang teringin dan rindu tidur di masjid. Kemudian, kita akan qiam dan tahajjud selepas itu solat subuh Jemaah, tazkirah dan bersurai,” jelasnya.
Selain itu, Alif juga bersyukur apabila pelbagai syarikat dan jenama tampil untuk bekerjasama dalam kempen terbabit.
“Saya bersyukur sangat bila nak buat kempen ini masjid sedia untuk buka pintu sambut orang datang.
“Rakan-rakan jenama lain pun datang beri sokongan. Saya gembira kerana banyak jenamayang saya jadi duta percaya dengan saya.
“Mereka tahu ini bukan kolaborasi normal. Jemput semua datang untuk kita buat solat tahajjud dan sembahyang hajat, ujarnya.
Sebelum ini, Alif mencetuskan misi Geng Subuh Macam Jumaat pada 2023 dalam usaha mengajak orang ramai mengimarahkan masjid. – KOSMO! ONLINE