TEHRAN – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, manakala 6,419 yang lain cedera semasa rakyat Iran menyambut festival api di bulan Ramadan, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Festival dinamakan Chaharshanbe Suri dalam bahasa tempatan itu menyaksikan orang ramai melompat melepasi api yang dinyalakan.
Penduduk juga bermain bunga api, mercun dan bahan letupan buatan sendiri semasa perayaan tersebut pada Rabu lepas.
Meskipun Jabatan Polis Tehran memberi amaran keras serta menggunakan dron bagi memantau penggunaan bahan letupan tersebut, beberapa kejadian tidak diingini tetap berlaku hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran mengesahkan 18 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
“Wilayah Tehran, Azerbaijan Timur dan Azerbaijan Barat di Iran mencatatkan jumlah kecederaan tertinggi,” tambahnya. – AGENSI.