TANJUNG MALIM – Sebanyak 200 kotak makanan telah diedarkan kepada golongan memerlukan di sekitar Tanjung Malim hasil inisiatif Jawatankuasa Kerohanian, Jabatan Perdagangan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, program kemasyarakatan itu bermula dengan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Chinggung pada tahun 2015 sehingga diteruskan pada penganjuran kali ke-10 tahun ini.
“Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Penerimanya ialah dari dalam dan luar PSAS iaitu pengawal keselamatan, pekerja pembersihan, pemandu dan pembantu operasi.
“Selain itu, penerima luar ialah Amanah Ikhtiar Malaysia, penduduk Felda Sungai Behrang, Rakan Prihatin Muallim, Slim Village Komuniti, KOPSAS dan tidak ketinggalan pelajar yang memerlukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Box di Dewan Kuliah Utama PSAS, Behrang di sini hari ini.
Setiap kotak makanan bernilai RM100 itu merangkumi sebotol minyak masak, biskut, gula, garam dan keperluan asas yang lain.-KOSMO! ONLINE