NEW DELHI – Seorang wanita ditahan selepas menelan beberapa cincin emas untuk mencuri barang kemas tersebut di sebuah premis di India, lapor portal berita India TV.
Kejadian berlaku di Pasar Silay dekat bandar Nihar, negeri Bihar pada Khamis lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsi di media sosial memaparkan dua wanita memasuki kedai berkenaan sebelum meminta untuk melihat koleksi cincin emas.
Ketika pekerja itu beredar, salah seorang wanita mengambil beberapa barang kemas itu sebelum menelannya dengan pantas.
Mereka sempat berpura-pura hilang minat sebelum beredar.
Situasi itu terbongkar apabila pekerja berkenaan menyedari kehilangan beberapa cincin dan menyemak rakaman CCTV.
Ketua Polis Silay, Mohammad Irfan Khan berkata, kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke balai polis.
“Siasatan sedang giat dijalankan,” tambahnya. – AGENSI