PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon kepada semua sahabat dan penyokong untuk mendoakan dirinya agar prosiding rayuan yang berlangsung hari ini di Istana Kehakiman akan memihak kepada kemenangan serta keadilan.
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau juga menaruh harapan dan nasib sepenuhnya kepada Allah SWT selain berasa yakin dengan prosiding pada hari ini.
“Masuk hari kedua perbicaraan rayuan, setiap apa yang berlaku semalam, saya rasa pengumumannya sangat baik.
“Hari ini ialah permulaan kes pendakwaan sebelum pihak saya memberikan respon balas,” katanya pada sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini tadi.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau juga berasa yakin terhadap fakta yang akan dibentang dan dibicarakan oleh barisan hakim hari ini.
“Saya hanya mohon sahabatyang menonton, yang datang ke sini dan juga di luar untuk tolong doakan supaya kebenaran dan keadilan menang.
“Itu saja permintaan dan permohonan saya. Terima kasih. Insya-Allah kita akan berjumpa selepas tamat kes hari ini,” katanya.
Semalam, Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa tiada keputusan akan dibuat berhubung rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). – KOSMO! ONLINE