PETALING JAYA – Pernah didakwa hamil sebelum nikah, penyanyi Syasya Rizal mengakui terkesan apabila masih ada segelintir individu yang memberikan komen negatif terhadap anaknya, Muhammad Yassir Hayyan.
Namun, Syasya atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, menyesal apabila terlalu cepat memberikan respons terhadap komen jahat berkaitan status permata hatinya itu.
“Bila dah jadi ibu, orang sentuh fasal anak pasti saya akan teremosi. Kalau sentuh saya, okey sahaja.
“Kalau anak, rasa macam kenapa nak cakap fasal anak saya tetapi salah saya juga sebab balas komen tersebut.
“Suami pun cakap tidak perlu balas, tutup sahaja sebelah mata. Saya yang cepat melatah,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis berbuka puasa bersama anak yatim kelolaan Universal Music di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, semalam.
Ditanya sekiranya bekas kumpulan Dolla itu kecewa, dia enggan memikirkan pandangan orang luar memandangkan keluarga terdekat tahu kisah sebenar.
“Faham semua orang ada pendapat masing-masing. Cara mereka mentafsir apa-apa cerita pasti berlainan.
“Cukuplah sekadar orang sekeliling sahaja tahu cerita sebenar, itu sudah memadai.
“Bukan semua orang luar sana kenal Norsyasya Afiqah,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Syasya juga memaklumkan akan melindungi puteranya tetapi tidak akan terlalu berbuat demikian supaya anaknya mampu mengenal dunia lebih mendalam.
“Memang saya ada rasa nak melindungi anak, biasalah anak sendiri mesti sayang.
“Tetapi saya bukan nak ‘over protective’ (terlalu melindungi). Tidaklah, saya nak dia meneroka dunia,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang individu tampil mendakwa Syasya hamil selepas meninggalkan Dolla sehingga terpaksa mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd. Sapie pada April tahun lalu.
Tidak berdiam diri, Syasya terus berharap fitnah tersebut dibalas di akhirat nanti.
Sebelum ini, Syasya mengejut ramai peminat apabila mengambil keputusan meninggalkan Dolla atas sebab peribadi pada April tahun lalu.
Kemudian dia mengumumkan sah bergelar isteri kepada Nasrullah pada 20 April tahun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember 2023 yang diberikan nama Muhammad Yassir Hayyan. – KOSMO! ONLINE