ATLET boling negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam langsung tidak menyangka dia mampu mengukir sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menjuarai kejohanan dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).
Segalanya menjadi realiti apabila dia merangkul Kejuaraan Chameleon di Reno, Nevada, Amerika Syarikat (AS) iaitu satu kejayaan disifatkannya ‘bagaikan mimpi menjadi kenyataan’, lebih-lebih lagi ia adalah penampilan sulungnya dalam Siri Jelajah Kejuaraan Dunia.
“Saya benar-benar tidak jangka menang. Saya masih terkejut dan perlukan beberapa hari untuk mencari kata-kata yang sesuai,” katanya yang menang 269-227 ke atas Kevin McCune dari AS pada final stepladder semalam.
Pemain berusia 26 tahun itu hadir dengan harapan sekadar mara ke final atau menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia, namun prestasi cemerlangnya dalam pusingan kelayakan memberikan keyakinan tambahan untuk melakar sejarah.
Tun Hakim turut percaya kejayaan Malaysia menjulang Piala Dunia IBF dalam acara berpasukan di Hong Kong dua bulan lalu menjadi pemangkin semangat buat dirinya, Rafiq Ismail dan Ahmad Muaz Fishol pada Jelajah PBA kali ini.
“Selepas Piala Dunia, semangat kami bertambah kuat. Ia memberi lonjakan keyakinan kepada kami yang hanya mahu terus menang,” katanya.
Malah, Tun Hakim pada awalnya menjangkakan Rafiq akan mencipta sejarah terlebih dahulu dalam Kejuaraan Scorpion sebelum tewas di pentas final pada Ahad lalu sekali gus membakar semangatnya untuk menjadi pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan PBA.
“Saya benar-benar fikir Rafiq akan menang Scorpion. Tapi selepas dia tewas, saya rasa terpanggil untuk mencipta sejarah bagi Malaysia. Itu membakar semangat saya,” tambahnya.
Bagaimanapun, Tun Hakim tidak mahu terlalu selesa dengan kejayaannya kerana masih ada cabaran besar menanti tahun ini, termasuk Kejuaraan Dunia di Hong Kong dan Sukan SEA di Thailand pada Disember tahun ini.
Tun Hakim kini telah meletakkan namanya sebaris dengan pemain elit dunia dan dengan momentum luar biasa, tidak mustahil dia mampu merangkul lebih banyak gelaran di pentas antarabangsa.