JAKARTA – Seorang wanita menerima kecaman orang ramai kerana mengelap tangannya yang kotor pada baju pekerja di sebuah restoran di Indonesia, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.59 petang (waktu tempatan) di Kota Jambi pada Sabtu lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang disiarkan di platform TikTok menunjukkan wanita itu meminta tisu daripada pekerja restoran di kaunter pembayaran.
Disebabkan tisu habis, dia mengelap tangannya pada baju pekerja tersebut sebelum beredar tanpa rasa malu.
Menurut restoran berkenaan, tisu baharu telah diletakkan di dalam bekasnya tetapi pekerja tersebut lupa.
Rakaman itu mencatatkan lebih 923,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Sebab itu penting ada ilmu dan adab,” kata seorang netizen.
“Wanita buruk memang tiada adab,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI