PUTRAJAYA – Bandar Telupid, Sabah dan Putrajaya dinobatkan sebagai bandar paling bahagia berdasarkan Kajian Indeks Kebahagian 2025 yang diumumkan hari ini.
Telupid diisytiharkan bandar paling bahagia bagi kategori majlis daerah, manakala Putrajaya berada di atas bagi kategori majlis bandaraya atau perbandaran.
Dua bandar itu adalah antara 20 bandar paling bahagia di negara ini yang disenaraikan berdasarkan Kajian Indeks Kebahagian.
Bandar lain tersenarai di bawah kategori majlis daerah termasuk Kuala Lipis, Cameron Highlands, Kuala Krai, Bandar Baharu, Kuala Pilah, Jerantut, Jelebu
Bagi kategori majlis bandaraya pula ialah Bintulu, Temerloh, Johor Bahru, Klang, Port Dickson, Jasin, Pontian, Ampang Jaya, Batu Pahat, Bandaraya Melaka Bersejarah dan Petaling Jaya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngan Kor Ming berkata, 20 bandar paling bahagia itu terpilih dalam kalangan 153 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, Kajian Indeks Kebahagiaan mendedahkan 115 bandar (75 peratus) mencapai status bahagia dan 38 bandar (25 peratus) mencapai status sederhana bahagia.
“Tahap kebahagiaan penduduk di dalam kawasan PBT diukur melalui Indeks Kebahagiaan di bawah Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets), yang diselia oleh KPKT melalui PLANMalaysia.
“Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk yang merangkumi aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan fizikal serta tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh PBT.
“Ia merangkumi penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Kebahagian Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE