PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai niat jahat dengan berselindung di sebalik ‘manfaat politik’ dalam mengarahkan pengeluaran RM1 juta daripada akaun rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, niat jahat Ahli Parlimen Muar itu boleh dilihat melalui tindakannya bermula dari sebelum pengeluaran wang itu pada 6 Mac 2020 sehingga selepas 28 Mei 2020, apabila tidak memegang apa-apa jawatan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Armada.
Katanya, keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali tidak tercabar yang mana adanya perjumpaan dan perbincangan di rumah Syed Saddiq di antara beliau, SP13 dan SP11 iaitu bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi selepas ‘Sheraton Moves’ (Langkah Sheraton).
“Keterangan Rafiq Hakim bahawa perayu memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan wang itu bagi ‘political mileage’ (manfaat politik), adalah tidak tercabar.
“Adalah hujahan kami, arahan yang diberikan oleh perayu kepada SP13 itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton.
“Keterangan SP11 dan SP13 adalah jelas bahawa perayu khuatir pertukaran pucuk pimpinan di dalam Bersatu atau Armada sebelum pengeluaran wang berkenaan.
“Kami menyatakan alasan (manfaat politik) ini menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang itu. Perayu seolah-olah menjadikan wang dalam Akaun Armada seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.
“Perayu juga tidak memaklumkan kepada SP13 sama ada beliau sudah mendapat kelulusan daripada sesiapa untuk mengeluarkan wang terbabit,” kata Wan Sharuddin.
Menurut beliau, berdasarkan cadangan peguambela kepada saksi pendakwaan, adalah jelas pengeluaran wang itu berlaku selepas Langkah Sheraton pada hujung Febuari 2020.
Beliau berkata, Langkah Sheraton adalah pergolakan politik sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang mana mahkamah boleh mengambil notis kehakiman berhubung perkara itu.
Wan Shaharuddin berhujah, hakim bicara Mahkamah Tinggi mempunyai alasan kukuh memanggil, Syed Saddiq untuk menjelaskan kepada mahkamah dan rakyat Malaysia mengapa beliau menggunakan alasan wang dalam akaun Armada adalah hasil titik peluhnya dan berhak menggunakannya.
“Sehingga kini tiada langsung penjelasan Syed Saddiq mengenai perkara itu dalam bentuk keterangan yang dikemukakan di mahkamah, yang mana keterangan hanya datang daripada SP13 dan dokumen yang dirujuk oleh peguambela sendiri kepada saksi terbabit,” katanya.
Beliau berkata, perayu juga mempunyai beban di bawah Seksyen 9 Akta Keterangan 1950 untuk memberikan penjelasan sebab beliau menggunakan alasan pertukaran pucuk pimpinan dalaman Bersatu atau Armada sebagai salah satu alasan untuk mengeluarkan arahan kepada Rafiq Hakim bagi mengeluarkan RM1 juta.
Pendengaran di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung lagi pada 17 April ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan. – KOSMO! ONLINE