IPOH – Satu sindiket menjual minyak pelincir kenderaan berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas menyerbu dua buah premis semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di Bandar Seri Botani dan Batu Gajah itu dilakukan hasil aduan dan maklumat wakil pemilik cap dagang.
“Wakil cap dagang memaklumkan terdapat penjualan cecair penyelenggaraan kenderaan jenama terkenal disyaki tiruan di premis-pemis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui 748 unit minyak pelincir enjin, 1,304 unit minyak pelincir gear dan 22 unit cecair penyejuk enjin yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang digunakan pada barangan tersebut,” katanya hari ini.
Kamalludin memberitahu, wakil syarikat cap dagang membuat pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan premis melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. Kesemua barangan dan dokumen disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM37,035.20,” katanya. – KOSMO! ONLINE