JOHOR BAHRU – Sesi persekolahan 20 buah sekolah di lima daerah di negeri ini terjejas akibat banjir, susulan hujan berterusan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, ia melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi dan menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah sehingga petang ini.
“Daripada 20 sekolah yang dilaporkan terjejas, tujuh daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua dinaiki air dan 11 terputus hubungan.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya dekat Johor Bahru dilaporkan telah dinaiki air dan operasi sekolah dihentikan sepenuhnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPS di SK Bukit Mutiara, di sini hari ini.
Aznan berkata, SK Perigi Acheh di Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi, serta sembilan sekolah di Kluang dilaporkan telah terputus hubungan.
“Sementara itu, tujuh sekolah pula kita hentikan operasi kerana memberi laluan untuk dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
“Walaupun sesi pembelajaran tidak berlangsung di sekolah yang terjejas, namun kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah akan dilaksanakan,” ujarnya – KOSMO! ONLINE