PUTRAJAYA – Seorang calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024, Muhammad Al Fateh Mohd. Faizal,12, bertuah kerana berpeluang menyemak keputusan penilaian itu di hadapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Lebih manis, anak sulung daripada empat beradik itu berjaya memperoleh keputusan 9A bagi UPKK 2024 dan menerima ucapan tahniah daripada Mohd. Na’im.
Muhammad Al Fateh yang juga pelajar Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Abdullah Ibn Mas’ud (SIRAJ AIM) Presint 11, merupakan antara calon UPKK 2024 yang hadir pada majlis pengumuman keputusan UPKK 2024 di sini, hari ini.
Katanya, dia akui berdebar apabila diberi peluang menyemak keputusan secara langsung di sisi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk jemputan yang hadir.
“Saya akui berdebar dan tidak menyangka berpeluang menyemak keputusan di hadapan seorang menteri. Namun, syukur, saya dapat 9A dan hasil penat lelah terbalas,” katanya.
Seramai 22,351 daripada 236,986 calon UPKK 2024 berjaya mencatat keputusan cemerlang A dalam kesemua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu. – KOSMO! ONLINE