PETALING JAYA – Gara-gara impak watak haruan makan anak dalam drama Keluarga Itu, pelakon dan usahawan Datuk Rosyam mendedahkan ada pihak menyeru orang ramai memboikot pasar raya miliknya, ST Rosyam Mart.
Begitupun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, menyifatkan perkara tersebut sekadar gurauan netizen dalam media sosial selepas naskhah itu trending.
“Memang betul ada yang bagi tahu saya watak bapa durjana, Iman membuatkan ramai sakit hati dan mahu boikot ST Rosyam Mart. Sebenarnya mereka tidak maksudkan pun, itu cuma gurauan.
“Orang tak benci Rosyam Nor, orang marah pada Iman, seorang ketua keluarga yang sepatutnya jadi pelindung tetapi bersikap menjijikkan.
“Dulu masa mula-mula nak buka ST Rosyam Mart pada 2018 pun ramai yang kata nak boikot, tapi alhamdulillah apabila timbul perkara sebegitu mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan saya,” katanya kepada media.
Selaku Pengarah ST Rosyam Mart, dia mengakui watak Iman yang digalas bukan bertujuan mencetuskan kontroversi, sebaliknya merupakan bentuk pengajaran kepada penonton.
“Iman tidak sensasi, tapi pelakuan karakter terbabit yang membuatkan penonton ‘panas’. Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu hal seperti dalam drama itu terjadi, tapi tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bukti.
“Tapi melalui watak saya sebagai Iman dengan perlakuan saya yang nampak jijik dan menyeramkan, itulah yang sebenarnya terpaksa dihadapi mangsa mangsa.
“Individu yang mereka sayang sebenarnya seorang binatang. Itulah watak Iman yang ditulis Erma Fatima, kemudian saya bentuk perwatakan lelaki berkenaan sebagai iblis dan syaitan bertopengkan manusia yang tidak pedulikan darah dagingnya.
Penerbit Suhan Movies & Trading itu juga berterima kasih apabila kredibiliti menggalas peranan mencabar itu meraih pujian sekali gus menyifatkan itu juga sebahagian daripada dakwah.
“Saya setuju lakonan juga merupakan satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang sehingga watak Iman menjadi fenomena yang besar.
“Walaupun banyak watak-watak yang dibentuk dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri, tetapi impak Iman di media sosial cukup meluas.
Terdahulu, drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. itu menarik perhatian ramai apabila mengetengahkan isu sensasi dan tabu yang berlaku dalam sebuah keluarga. – KOSMO! ONLINE