PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui sedikit kecewa selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 17 April ini bagi sesi mendengar hujahan lanjut berhubung penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq berkata, beliau tetap menghormati keputusan pihak pendakwa raya khususnya institusi kehakiman yang merupakan benteng terakhir bagi demokrasi dan pihak teraniaya.
“Tipulah kalau kata saya tidak terkesan atau tidak kecewa, (lebih-lebih lagi) sebagai seorang yang sudah lima tahun menuntut keadilan dan kebenaran.
“Hari ini, alhamdulillah dapat masa (hadir) di mahkamah yang saya hormati, namun prosesnya ditangguhkan lagi,” katanya pada sidang ahbar sebentar tadi.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding hujahan lanjut atas faktor kesihatan dua timbalan pendakwa raya yang dikatakan kurang sihat.
Syed Saddiq berkata, beliau disiasat sejak 2020 dan siasatan mengambil masa selama lebih setahun setengah sebelum didakwa di mahkamah.
“Selepas didakwa, tidak pernah sehari pun saya menangguhkan kes mahkamah. Hanya Allah yang tahu berapa kali saya sakit, tetapi tetap menghadiri proses mahkamah.
“Sebab itu pada peringkat awal saya betul-betul berharap dua hari yang ditetapkan itu adalah pengakhiran. Walaupun kecewa tetapi saya tetap perlu menghormati institusi pendakwa raya, institusi kehakiman,” katanya.
Beliau juga berharap agar proses seterusnya tidak akan ditangguhkan dan keadilan akan memihak kepadanya.
“Doakan yang terbaik bukan sahaja untuk saya, tetapi pihak pendakwa raya kembali pulih secepat mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE