PETALING JAYA – Selepas Malique memberi bayangan akan kembali aktif dalam dunia seni, penyanyi rap Joe Flizzow sedia berkolaborasi dengan rakan seperjuangannya itu walaupun menerima bayaran rendah.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Johan Ishak, 46, itu hanya menunggu kata putus daripada Malique untuk menghidupkan semula nostalgia kumpulan Too Phat seperti dahulu.
“Saya terbuka berkolaborasi bersamanya (Malique), walau dibayar RM1 pun saya akan lakukan malah kalau tiada bayaran juga saya tak kisah.
“Insya-Allah kita doakan, jika Malique mendengar apa saya katakan ini, terpulang kepada awak bro. Keputusan di tangan awak, saya sentiasa bersedia.
“Kalau saya yang kena bayar pun saya akan buat (kolaborasi),” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis berbuka puasa bersama anak yatim bersama Universal Music di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, semalam.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Satu Malam Di Temasek itu mengakui menerima pelbagai tawaran untuk sepentas dengan Malique tetapi terpaksa akur mereka belum dapat berkongsi pentas lagi.
“Saya dapat banyak tawaran persembahan bersama Malique. Kalau saya nak cakap jumlah tawaran diberikan, rasanya tinggi nilainya.
“Saya selalu cakap wang bukan segala-segalanya. Mungkin ada pihak penganjur menganggap bayaran tinggi boleh mempengaruhi keputusan saya untuk membuat persembahan dengan dia.
“Lebih-lebih lagi sejak dia membuka akaun Instagram, semakin banyak penganjur menawarkan tawaran persembahan untuk Too Phat,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Joe menganggap kehadiran semula Malique sebagai satu perkara istimewa yang perlu diraikan.
Namun, dia menegaskan mereka masih tidak berhubung walaupun Malique dipercayai akan buat kemunculan semula bagi menggegarkan industri rap negara.
“Saya rasa itu satu perkara istimewa untuk dunia hip-hop kerana kita rindukan kehadiran dan suaranya.
“Memang kita dah lama nantikan dan raikan dia buat kemunculan semula. Dia pun sudah keluar dengan beberapa buah lagu dengan artis baru sebelum ini.
“Buat masa ini kami masih belum berhubung lagi. Saya pun tidak mahu bercerita lebih sangat kerana tidak mahu membuat sebarang andaian,” jelasnya.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Cairel Edrin Ibrahim, 48, itu tiba-tiba muncul dengan akaun Instagram rasminya iaitu Malique Ibrahim sehingga mengejutkan ramai peminat.
Bagaimanapun, Malique yang mendapat julukan Mr. General itu masih utuh dengan prinsipnya tidak memuat naik sebarang foto memaparkan wajahnya.
Terdahulu, selepas pembubaran Too Phat pada 2007, Malique bergerak solo dan tidak pernah muncul dalam mana-mana platform media tetapi terus aktif menghasilkan lagu dan bekerja di belakang tabir.
Sebelum ini, single Malique berjudul Sedih Hati yang turut menampilkan suara Allahyarham Mona Fandey ‘meledak’ dan menarik perhatian ramai kerana menonjolkan anak sulungnya, Inca Medina, 14, dalam video muzik lagu tersebut. – KOSMO! ONLINE