fbpx

Raja Muda Kedah titah ibu bapa pantau anak, elak cedera main mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Sarafudin berkenan mengurniakan Sumbangan Aidilfitri MAIK di Yan, hari ini.

YAN – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah kepada golongan ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak membabitkan aktiviti bermain mercun.

Titah baginda, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk kecederaan parah terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang berlaku ke atas dua beradik di Kuala Nerang kelmarin dan berharap ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Saya harap kejadian ini tidak berlaku lagi di Kedah atau negeri-negeri lain sebab tiap-tiap tahun bila dekat nak raya, ada kejadian macam ini.

“Saya harap ibu bapa pantau anak-anak. Semua gembira nak (menyambut) raya, tetapi kita tak mahu berada dalam kesedihan,” titah baginda selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), di sini hari ini.

Baginda turut menyeru agar pemantauan ketat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan larangan terhadap penjualan mercun berbahaya.

Kosmo! semalam melaporkan dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera akibat bermain mercun bola di Kampung Baru, Kuala Nerang.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, hancur semua jari hingga pergelangan tangan kiri selain bawah pipi kanan terkoyak, manakala adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, cedera ringan.

Sementara itu, Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Yang Dipertua MAIK memaklumkan agensi itu memperuntukkan sebanyak RM626,400 untuk diagihkan kepada 2,950 penerima di negeri ini pada tahun ini.

Baginda berharap sumbangan itu dapat meringankan beban dan memberikan kegembiraan buat golongan yang terkesan menjelang sambutan Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI