BESUT – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara menyerbu dua kilang kayu yang disyaki memproses balak secara haram melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM4.12 juta di daerah ini, semalam.
Serbuan berasingan terbabit di Felcra Keru di sini dan Kampung Chegar Malok, Jertih terbabit berjaya merampas 18,000 kayu bulat dengan lima suspek berusia dalam lingkungan 31 hingga 68 tahun juga ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan pertama melibatkan di sebuah kilang kayu haram di Felda Keru pada pukul 10.30 pagi.
“Pemeriksaan mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen untuk beroperasi daripada Jabatan Perhutanan.
“Bekalan 13,000 batang kayu bulat pelbagai saiz dan jenis juga disyaki diperolehi tanpa permit serta tidak bercukai dari kawasan sekitar,” katanya di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kilang kayu di Kampung Chegar Malok, Jertih pada pukul 11 pagi fan merampas 15,000 batang kayu bulat.
Beliau berkata, suspek dan barangan yang disita telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Terengganu untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE