fbpx

Pengemis Thailand ‘berkampung’ di KB, kutip derma 10 malam akhir Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Alimie (kiri) menyoal siasat Omardin semasa Ops Bersih Ramadan di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KOTA BHARU – Seorang nelayan dari Pattani, Thailand ‘berkampung’ di Masjid Jamek Muhammadi di sini sejak semalam untuk mengutip derma sepanjang 10 hari terakhir Ramadan ini.

Omardin Ahmad, 47, merupakan seorang daripada empat warga Thailand memasuki negara ini secara sah menggunakan pasport atau pas sempadan yang ditahan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam Ops Bersih Ramadan.

Lelaki itu yang cacat di kaki akibat demam kepialu sejak berusia tujuh tahun memasuki Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang semalam sebelum menaiki bas ke daerah ini.

Tahun ini merupakan tahun kedua Omardin datang ke Kelantan untuk mengemis di sekitar Masjid Jamek Muhammadi pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Saya memperoleh kira-kira RM1,000 sepanjang 10 hari atau RM100 sehari dengan meminta sedekah di sini. Saya hanya duduk di pekarangan masjid. Ramai orang di sini yang bermurah hati memberikan derma.

“Wang ini akan digunakan untuk persekolahan anak berusia sembilan dan 16 tahun di Pattani. Isteri saya tidak bekerja. Dia menjaga anak-anak di rumah,” katanya ketika ditemui semasa Ops Bersih Ramadan di Masjid Jamek Muhammadi hari ini.

Omardin memberitahu, dia bekerja sebagai nelayan di Pattani dan hanya datang ke Kota Bharu dengan bermodalkan RM50 untuk meminta sedekah di bulan Ramadan.

Sementara itu, seorang warga emas berusia 80 tahun dari Narathiwat berkata, dia yang cedera di kaki akibat kemalangan mengemis di sekitar Bazar Buluh Kubu di sini sejak minggu kedua Ramadan.

Warga emas itu mampu memperoleh RM80 sehari pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Saya ada dua anak yang masih belajar di sana (Narathiwat). Saya tinggal di bilik sewa di belakang Masjid Jamek Muhammadi sejak semingu lalu dengan bayaran tidak sampai RM50 semalam.

“Ada ramai lagi peminta sedekah tinggal di situ. Apabila tamat bulan Ramadan, kami pulang ke tempat masing-masing. Saya akan berbuka puasa dan bersahur di masjid sepanjang berada di sini,” ujarnya.

Warga asing itu juga berhajat untuk menggunakan semua wang derma itu untuk rawatan kakinya.

Seorang orang kurang upaya (OKU) dari Sungai Golok, Thailand pula berkata, dia tidak pernah serik mengemis di depan sebuah bank di Jalan Padang Garong meskipun sudah dua kali dicekup pihak berkuasa.

Warga emas berusia dalam lingkungan 80-an yang menaiki kerusi roda itu berkata, dia datang ke Kota Bharu dengan dibawa oleh ejen sebelum ditempatkan di depan bank untuk meminta sedekah.

Seorang warga emas OKU dari Sungai Golok yang ditahan semasa mengemis di depan sebuah bank di Jalan Padang Garong, Kota Bharu, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Menurutnya, dia bersama seorang wanita yang merupakan anak saudaranya akan mengemis di kawasan tersebut bermula pada pukul 9 pagi hingga petang sebelum kenderaan ejen datang mengambil mereka untuk dihantar ke masjid.

“Saya tinggal di bilik sewa di belakang Masjid Jamek Muhammadi sejak mula masuk ke Kelantan pada minggu lalu. Ada orang (ejen) yang bawa kami ke sini untuk meminta sedekah.

“Setakat ini, saya dapat RM80 hingga RM100 sehari setiap kali mengemis di sini. Mungkin wang makin banyak diperoleh pada 10 hari terakhir Ramadan ini,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Bahagian Penguat Kuasa MPKB-BRI, Mohd. Halimie Md. Salleh berkata, seramai 11 pengemis termasuk empat warga Thailand dicekup di lapan lokasi di kawasan bank, masjid dan taman di sekitar bandar Kota Bharu sepanjang empat jam operasi dijalankan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pengemis dari Thailand dibawa oleh ejen yang akan mengatur pergerakan dan lokasi mereka untuk meminta sedekah.

“Kebiasaannya, ejen yang merupakan warga tempatan akan membuat pembahagian hasil derma iaitu 70 peratus kepada mereka dan 30 peratus kepada pengemis.

“Pengemis dari Thailand ini juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial apabila mereka memiliki pasport atau pas sempadan sah, namun datang ke negara ini untuk meminta sedekah,” ujarnya.

Tambahnya, keempat-empat warga Thailand itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI