KLUANG – Penduduk di Kampung Contoh di Kahang di sini, diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk dipindahkan pada bila-bila masa sekiranya air Sungai Kahang melimpah akibat hujan lebat sejak petang semalam.
Ketua Kampung Contoh, Baharudin Aman berkata, pihaknya sudah mengaktifkan pasukan pemantau dan tindak pantas yang terdiri daripada penduduk kampung untuk melakukan kerja-kerja memindahkan mangsa apabila diperlukan.
Katanya, bagaimanapun hasil tinjauan awal pagi tadi mendapati keadaan air Sungai Kahang masih belum menunjukkan kenaikkan pada paras bahaya yang boleh menyebabkan banjir.
“Hasil tinjauan pagi tadi, paras air Sungai Kahang adalah sekitar 13.7 meter namun dijangka akan meningkat ke paras bahaya iaitu 14.8 meter sekiranya hujan berterusan seperti sekarang.
“Sehingga sekarang terdapat dua laluan di dalam kampung sudah ditenggelami air dan tidak boleh dilalui apa-apa kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Baharudin, pada masa ini pihaknya sudah menyiapkan Balai Raya Kampung Contoh sebagai tempat pemindahan sementara sekiranya berlaku banjir dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE