BESUT – Seorang pemandu lori membawa muatan produk sejuk beku maut setelah kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori lain di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Renek di sini ,hari ini.
Kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu meragut nyawa Muhammad Amirruldin Abdullah, 31, yang berasal dari Teluk Intan, Perak akibat kecederaan parah pada kepala.
Pemandu dan kelindan lori membawa barangan kedai serbaneka pula cedera pada bahagian kaki dan tangan akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Amirruldin dikatakan dalam perjalanan membawa produk sejuk beku ke Kuala Terengganu dari Sitiawan, Perak.
Beliau berkata, pada masa sama, sebuah lori yang dalam perjalanan menghantar barangan ke rangkaian kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini dikatakan hilang kawalan setelah cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza yang tiba-tiba keluar simpang.
“Impaknya lori 10 tan terbabit terbabas lalu merempuh tembok jambatan berhampiran sebelum sebahagian badan kenderaan itu merintangi laluan bertentangan.
“Lori membawa produk sejuk beku dibawa mangsa (Muhammad Amirruldin) gagal mengelak lalu merempuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, semalam.
Azamuddin berkata, sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat Muhammad Amirruldin yang tersepit di dalam lori yang remuk teruk berkenaan. – KOSMO! ONLINE