JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kecederaan dan kematian kanak-kanak lelaki warga Singapura di Jalan Pantai, di sini Ahad lalu.
Tertuduh, I. Muniandy @ Ang Ah Leang, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Lelaki itu didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz, 7, di Kilometer 2.4, Jalan Pantai pada pukul 10.10 malam, 16 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda maksimum RM100,000.
Lesen memandu tertuduh turut diendors oleh mahkamah selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun bermula dari tarikh sabitan.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Khairuz Bahrawi, 44, dan Lina Yulianti, 38, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A)(a) APJ 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, selain lesen memandu diendors serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama tujuh tahun bermula dari tarikh sabitan.
Tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Pada Ahad lalu, seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura maut selepas kenderaan dinaiki bersama empat yang lain, termasuk amah Indonesia dirempuh lori yang terbabas dan memasuki lorong bertentangan. – KOSMO! ONLINE