BANGKOK – Seorang pelancong Israel di Thailand menawarkan untuk membayar pampasan cuma 300 baht (RM40) kepada seorang pemandu teksi selepas membuang air besar di dalam kenderaan itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Menurut pemandu teksi berkenaan, Norraphat, 32, dia mengambil dua penumpang warga Israel berdekatan sebuah pusat beli-belah di Pattaya.
Ketika dalam perjalanan, dia terhidu bau busuk sebelum menyedari salah seorang daripada mereka membuang air besar.
Norraphat memberhentikan kenderaannya sebelum meminta pampasan sebanyak 1,500 baht (RM200) daripada penumpang tersebut bagi kos membersihkan tempat duduk.
Mereka bagaimanapun enggan membayar, sebaliknya hanya menawarkan ganti rugi sebanyak 300 baht.
Norraphat menghubungi polis sebelum anggota tiba bagi membantu menyelesaikan pertikaian tersebut.
Polis akhirnya berjaya mengarahkan penumpang tersebut membuat bayaran seperti yang diminta sebelum mereka berlalu dari situ.
Ia bukan kali pertama pelancong Israel mencetuskan masalah di Thailand kerana sebelum ini, beberapa insiden melibatkan kumpulan tersebut termasuk kekacauan yang ditimbulkan di sebuah hospital di utara negara itu. – AGENSI