PORT LOUIS, MAURITIUS – Seorang penyelam diberi peluang kedua selepas diselamatkan sepasang paus daripada serangan seekor ikan jerung di luar pantai Mauritius, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram memaparkan lelaki bernama Benoit Girodeau diekori jerung spesies whitetip ketika menyelam.
Dia terselamat selepas dikelilingi dua paus sperma gergasi seberat 45 tan yang cuba mengejar pemangsa tersebut.
Salah seekor paus itu dilihat berenang dalam keadaan terbalik sambil mengekori ekor jerung tersebut untuk menjauhkannya dari Girodeau.
Jerung itu cuba menghampiri semula ke arah Girodeau tetapi dihalang oleh seekor lagi paus dengan badan ‘raksasanya’.
“Paus itu menggigit ekor jerung sebagai amaran untuk berundur. Ia kemudian kembali menjaga saya.
“Tindakan baik dari kedua-dua paus itu membolehkan saya kembali ke atas bot dengan selamat,” tambah Girodeau. – AGENSI