MILAN – Keputusan positif di pentas antarabangsa nyata begitu penting buat Jerman untuk menutup segala cerita negatif yang pernah menyelubungi pasukan dalam pertandingan utama sejak kebelakangan ini.
Kemenangan ke atas Itali pada aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara Eropah di San Siro awal pagi esok bakal menjadi pentas buat Die Mannschaft memulihkan reputasi mereka selepas dipalit kekecewaan di suku akhir Euro 2024.
“Apa juga keadaan, perlawanan suku akhir adalah amat penting buat kami. Jika majoriti skuad kali ini mempunyai perasaan sama untuk tampil lebih baik, sudah pasti kami sedang berada di landasan tepat.
“Sekiranya kami dapat berkembang dengan baik, sudah pasti kami akan lebih bersedia untuk mencapai sasaran besar yang sudah kami sasarkan,” kata ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann.
Jerman ketika ini sedang membawa misi besar untuk menjuarai kejohanan tersebut buat kali pertama dan ia akan dijadikan batu loncatan bagi mengharungi cabaran lebih mencabar pada masa akan datang.
“Untuk mengatasi ketiadaan beberapa pemain, saya rasa kami tetap perlu mengumpulkan barisan pemain terbaik. Kami melakukan pemilihan pemain dengan cukup yakin bagi menampung kualiti yang hilang.
“Aksi kali ini nyata cukup penting dan kami pastinya mengidam untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam kedua-dua perlawanan kali ini,” katanya. – AGENSI