PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana masalah kewangan.
PTPTN dalam kenyataan berkata, dengan kerjasamaYayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melancarkan dana wakaf pendidikan tinggi iaitu myWaqafPTPTN pada 11 Mac lalu bagi membantu para pelajar.
“Sejak diperkenalkan, seramai 58 orang pelajar telah menerima biasiswa myWaqafPTPTN melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM717,000.
“Pada hari ini, seramai 24 orang pelajar akan menerima biasiswa myWaqafPTPTN dengan peruntukan berjumlah lebih RM266,000,” katanya, hari ini.
Terdahulu, penyerahan biasiswa myWaqafPTPTN kepada 8 orang pelajar telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim pada Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sekitar Kuala Lumpur.
Norliza berkata, myWaqafPTPTN menyasarkan sumbangan wakaf tunai daripada kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara.
Dalam majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pengamal-pengamal media sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkenaan PTPTN.
“Seiring usaha pendigitalan kerajaan, PTPTN sentiasa komited dalam mempergiatkan strategi dan kempen bagi menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih cepat, mudah serta selamat.
“Sehingga 31 Disember lalu, bilangan pengguna myPTPTN telah mencapai seramai 2.33 juta” tambahnya. – KOSMO! ONLINE