KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) meneruskan tradisi saban tahun dengan menyediakan 15,000 beg hari raya kepada anggota tentera termasuk yang menyertai misi di luar negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, secara keseluruhannya sebanyak 74 sumbangan telah diterima dalam bentuk barangan dan kewangan bagi tahun ini dengan nilai keseluruhannya adalah RM1,956,429.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 74 penyumbang telah membuat sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan.
“Sumbangan kewangan yang diterima adalah sebanyak RM1,777,500 dan RM178,920 dalam bentuk barangan yang secara keseluruhannya menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM1,956,429,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Auditorium Wisma Pertahanan, Mindef, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada syarikat-syarikat dan ahli korporat yang sudi menghulurkan sumbangan.
Jelas Mohamed Khaled, Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia akan memastikan sumbangan-sumbangan ini disampaikan kepada anggota tentera sebelum sambutan Aidilfitri.
Beliau juga berharap agar sumbangan ini menjadi contoh dan dorongan kepada pihak lain yang masih belum berpeluang serta berkesempatan menyumbang untuk sama-sama tampil ke hadapan di masa depan.
“Saya harap sumbangan ini dapat meningkatkan moral anggota yang bertugas serta menjadi dorongan kepada lebih ramai pihak untuk turut menyumbang pada masa hadapan,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE.