fbpx

Masjid Jamek Muhammadi jadi tumpuan peminta sedekah sepanjang Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa MPKB-BRI menyoal siasat Hassan (tengah) yang ditahan semasa Ops Bersih Ramadan di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu, hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seorang pesakit paru-paru kronik terpaksa bermalam dan menumpang di Masjid Jamek Muhammadi di sini sepanjang Ramadan sebelum keluar meminta sedekah pada waktu siang.

Meskipun pernah dicekup penguat kuasa tiga bulan lalu, Hassan, 54, tiada pilihan lain selain daripada bermalam di masjid itu kerana tidak mampu untuk berulang-alik ke rumah adiknya di Pendek, di sini.

Menurut Hassan, dia hanya bermalam di masjid dan siang hari dia keluar meminta sedekah untuk membeli makanan kerana dia tidak boleh bekerja.

Katanya, dia memperoleh kutipan antara RM80 hingga RM100 sehari hasil wang sumbangan atau derma orang ramai.

“Saya tiada keluarga dan hanya menumpang di rumah adik. Setiap kali bulan Ramadan, saya akan datang ke bandar Kota Bharu untuk meminta sedekah.

“Tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, saya akan pulang semula ke rumah adik,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Operasi Bersih Ramadan di Masjid Jamek Muhammadi di sini, hari ini.

Hassan merupakan salah seorang daripada tujuh pengemis warga tempatan selain empat warga Thailand yang dicekup dalam operasi yang dijalankan oleh oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Kelantan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lelaki itu berkata, dia menumpang di masjid itu kerana perlu menerima rawatan susulan penyakitnya itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Seorang lagi warga emas dikenali sebagai Yusoff, 65, berkata, dia menumpang di masjid sejak awal puasa lagi.

“Saya datang ke Masjid Jamek Muhammadi kerana di sini ada menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Saya tidak mampu membeli makanan sendiri dan hanya mampu mengemis meminta belas ihsan orang ramai.

“Saya sudah lama menghidap gout sehingga terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan hidup sebatang kara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI