KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima tidak melenting apabila dilabelkan sebagai pengarah drama lucah atau ‘soft porn’.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, apa yang dipaparkan dalam karya -karya terbitannya adalah realiti kehidupan.
“Apa yang saya paparkan dalam karya terbitan saya adalah apa yang kita sering baca dalam berita. Tetapi bila divisualkan sebagai sebuah produk seni, mungkin orang masih belum terima.
“Ini bukan lagi sebab saya ni gedik nak buat cerita berunsur lucah atau sebagainya. Lemahnya kaum lelaki adalah pada perempuan. Seks itu tidak kotor. Apa yang menjadikannya kotor apabila hubungan tersebut tidak halal.
“Kita selalu baca berita tentang bomoh perkosa pesakit wanita. Guru tahfiz meliwat pelajar. Tetapi dalam karya saya kita tidak menjatuhkan Islam. Kita paparkan tentang penunggang agama,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sejak drama Keluarga Itu ditayangkan di TV3, Erma mendedahkan ada ramai wanita yang menjadi mangsa rogol dan gangguan seksual yang menghubunginya.
“Niat saya menghasilkan Keluarga Itu adalah untuk memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Saya dah pernah buat drama tentang penyondol sebelum ini. Cukuplah dengan drama penyondol.
“Dan melalui drama Keluarga Itu saya menerima banyak mesej daripada mangsa rogol. Ada pengguna media sosial yang berani mati buat siaran langsung dalam TikTok menceritakan pengalamannya.
“Saya hubungi dia selepas itu dan tanya betul ke kisah yang diceritakan. Kemudian ibu dia pula buat siaran langsung beberapa hari selepas itu,” kongsinya.
Terdahulu, drama Bidaah yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra milik Erma dikecam netizen kerana memaparkan babak Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki.
Satu lagi drama terbitan Erma iaitu Keluarga Itu turut menjadi bualan netizen kerana memaparkan kisah seorang suami dan bapa lakonan Datuk Rosyam Nor yang gila seks dan sanggup menodai anak sendiri. – KOSMO! ONLINE