PETALING JAYA – Individu yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berperanan membuat pertukaran mata wang asing.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati pengurup wang itu dipercayai membuat pertukaran wang Ringgit Malaysia kepada pelbagai mata wang asing.
“Bagaimanapun, individu itu telah dilepaskan selepas mengadu tidak sihat dan perlu mendapatkan rawatan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, seorang pengurup wang ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes Ismail Sabri sebelum dilepaskan dua hari kemudian ekoran masalah kesihatan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, proses merakam keterangan bekas Perdana Menteri kesembilan itu berkemungkinan akan mengambil masa selama beberapa hari lagi.
Semalam, Ismail Sabri hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan kali yang kelima berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat susulan penemuan wang tunai sebanyak RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam ‘safe house’. – KOSMO! ONLINE