JITRA – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan kes kontraktor lelaki dan anak saudaranya yang didakwa membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, pada 4 September tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Majistret Nurul Huda Idris memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien.
Kedua-dua tertuduh iaitu Mazuan Hanafi, 39, dan Muhd. Asyraf Idris, 27, pekerja kilang yang berada di kandang tertuduh mengangguk faham sebaik dimaklumkan kes dihadapi mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Mereka pada hari ini diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rawiah Koshim yang menyebut bagi pihak peguam, T. Jayaraj.
Turut hadir pada prosiding sebutan izin pendakwaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi itu ialah abang Allahyarham Sabari iaitu Ismail, 70, dan peguam pemerhati keluarga, Syuhada Mohd Soberi.
Mengikut kertas pertuduhan, Mazuan dan Muhd. Asyraf didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September tahun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, suspek iaitu seorang kontraktor dan anak saudaranya ditahan polis pada 27 September tahun lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari yang dilaporkan hilang sejak awal September tahun lalu.
Kehilangan itu dianggap misteri kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, dekat sini namun pesara Felcra itu tiada.
Kedua-dua suspek kemudiannya mengaku telah mencampak warga emas itu ke Sungai Padang Terap, di sini dalam keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Gerakan mencari jasad mangsa seterusnya dilakukan bermula 30 September tahun lalu, namun ditamatkan tiga hari kemudian. – KOSMO! ONLINE