KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperkukuh usaha menangani penyeludupan manusia dan dadah di sempadan negara dengan meningkatkan operasi penguatkuasaan serta memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan sempadan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan keselamatan sempadan negara terus terpelihara termasuk melalui operasi berkala dan khas oleh pelbagai agensi keselamatan.
“Antara tindakan utama yang telah dilaksanakan termasuk operasi penguatkuasaan seperti Op Taring Wawasan, Op Taring Nyah dan Op Taring Awas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Op Sanggah oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Berdasarkan statistik PGA dari tahun 2022 hingga Februari lepas, sebanyak 1,181 kes berkaitan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) telah direkodkan, manakala 1,216 kes melibatkan dadah dan racun turut dikesan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dewan Negara, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha dalam menangani kes penyeludupan manusia dan dadah yang masih berleluasa di sempadan negara dan menggunakan teknologi Al.
Menurut beliau, ESSCOM juga telah melakukan lebih 7.7 juta pemeriksaan sejak tahun 2020, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM89.81 juta termasuk rampasan berkaitan dadah bernilai RM13.56 juta.
Selain itu, katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menjalankan operasi penguatkuasaan seperti Op Pertiwi dan Op Ehsan dengan lebih satu juta pemeriksaan telah dilakukan dari tahun 2020 hingga 2024, menghasilkan 5,881 tangkapan.
Dalam usaha memperketat kawalan sempadan, kerajaan turut merancang untuk memperluaskan penggunaan teknologi AI melalui pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN).
“SKSN yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini berasaskan AI dan analitik data bagi membolehkan operasi dijalankan tanpa pengawasan fizikal serta penyebaran maklumat secara real-time.
“Ini akan memastikan pemantauan berterusan di sempadan darat dan maritim bagi menjamin keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.
Selain itu, pihak PGA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah melaksanakan penggunaan Border Surveillance System (BSS) di kawasan sempadan seperti Padang Besar, Perlis.
“Tambahan daripada itu, PGA, PDRM juga telah diluluskan peruntukan berjumlah RM12 juta di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP1, RMKe12) bagi perolehan empat unit Drone Vertical Take Off and Landing
(VTOL).
“(Serta) peruntukan berjumlah RM7.5 juta di bawah Roliing Plan Kedua, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP2, RMKe12) bagi perolehan lima unit Mobile Surveillance Thermal Radar,” ujarnya.
Shamsul Anuar turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia melalui mesyuarat dua hala seperti General Border Committee (GBC) dan High Level Committee (HLC) bagi memastikan kawalan keselamatan di sempadan lebih berkesan.
“Pemantapan kerjasama serantau tertumpu kepada peningkatan pengumpulan maklumat risikan sempadan, perkongsian maklumat antara negara jiran dan mengeratkan hubungan dua hala.
“Dengan negara-negara jiran dalam kerjasama menangani permasalahan di sempadan dengan mengadakan mesyuarat bilateral untuk membincangkan isu-isu semasa yang berlaku di sempadan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE