PUTRAJAYA – Semua kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bermula 29 Mac ini.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, ia dikuatkuasakan melalui perintah Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (road-ban) iaitu dua hari sebelum perayaan pada 29 dan 30 Mac serta pada 5 dan 6 April 2025 (selepas perayaan).
Katanya, langkah itu mengambil kira peningkatan trafik ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian,” katanya, hari ini.
Pada masa sama, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan turut dikuatkuasakan melibatkan jalan persekutuan seluruh negara bersama pelaksanaan road-ban bermula 28 Mac sehingga 6 April depan.
Katanya, bagi memastikan pematuhan terhadap Perintah Larangan, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengatur gerak pasukan penguatkuasaan secara aktif di seluruh negara.
Katanya, ia menerusi pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2025 dan operasi bersepadu bersama pihak agensi penguatkuasaan yang lain. – KOSMO! ONLINE