fbpx

JSJK perkasa usaha tingkat operasi banteras jenayah komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (tengah) manakala Ramli (kiri) dan Rohaimi (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJK Bukit Aman, di Pulapol Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya memperkasakan usaha pembanterasan jenayah komersial dengan melaksanakan operasi dan serbuan lebih kerap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha jabatan itu yang diketuai Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Jumlah operasi pada 2024 meningkat kepada 24,388 iaitu penambahan sejumlah 6,167 operasi berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, jumlah tangkapan turut mencatat peningkatan ketara mencatatkan sejumlah 25,829 tangkapan pada 2024, berbanding 22,911 (2023) dan hanya 20,804 pada 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJK di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurutnya, selain mempunyai pengalaman yang luas di pelbagai jabatan, kecemerlangan prestasi, kredibiliti dan kewibawaan Ramli mendapat pengiktirafan sehingga dilantik untuk beberapa jawatan penting.

Jelasnya, Ramli turut diberi kepercayaan memimpin polis Kontinjen Pahang sebagai Ketua Polis Negeri sebelum menerajui JSJK sejak 10 Mei 2023.

“Saya mewakili Kerajaan Malaysia dan seluruh warga pasukan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ramli atas khidmat bakti kepada negara.

“Kini, tibalah masanya untuk pasukan melepaskan perwira ini untuk menikmati masa bersama keluarga tersayang,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Datuk Rohaimi Md Isa dilantik memangku jawatan Pengarah JSJK Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Ramli yang bersara wajib selepas hampir 38 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ramli dalam ucapannya berkata, ia merupakan detik yang penuh bermakna menandakan tamatnya perjalanan selama 13,864 hari dalam pasukan.

“Pihak berkuasa telah mengajar saya bahawa tiada kejayaan yang datang dengan mudah dan setiap cabaran hadir dengan peluang untuk menjadi lebih baik.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan PDRM khususnya Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain yang memberikan sokongan sepanjang perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI