JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir untuk mengurangkan risiko banjir.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.
“Keadaan banjir di Johor masih membimbangkan. Saya akan pastikan semua usaha yang dirancang dilaksanakan segera,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, di sini pagi tadi.
Menurut laporan terkini, seramai 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 11 PPS di tiga daerah yang terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai, dan Pontian. – KOSMO! ONLINE