KULAI – Seorang suri rumah meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kemalangan melibatkan suaminya di Jalan Lebuh Putra Utama, di sini pada 13 Julai 2024 supaya tampil bagi membantu siasatan.
Lay Chay Yin, 46, berkata, sejak nahastersebut, suaminya masih dalam keadaan koma walaupun sudah lapan bulan kejadian tersebut berlaku.
Katanya, ini merupakan inisiatif terakhir yang dilakukan bagi mendapatkan pembelaan buat suaminya.
“Ketika kejadian, suami saya menunggang motosikal untuk bekerja di Singapura sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran persimpangan masuk ke Gate C, Jalan Lebuh Putra Utama.
“Sepanjang lapan bulan ini, suami saya masih terlantar dan tidak sedarkan diri. Dia tidak dapat memberi keterangan kepada polis. Namun saya ada terima video kejadian yang dikongsikan daripada kenalan.
“Saya percaya individu yang memuat naik video itu boleh menjadi saksi kes kemalangan ini dan membantu siasatan pihak polis. Tujuannya untuk membuktikan dia telah dilanggar dan tidak bersalah dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita.
Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubungi Chay Yin di talian 014-3047675. – KOSMO! ONLINE