fbpx

GLIC disaran labur RM120 bilion dalam 5 tahun – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika sesi lisan di Dewan Negara, hari ini. Foto JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disaran untuk melabur sekitar RM120 bilion dalam tempoh lima tahun sebagai pelaburan langsung domestik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini bukan sahaja bertujuan menjana pertumbuhan ekonomi tetapi juga selari dengan pendekatan kerajaan yang digelar ‘gear-up’.

“Penekanan kita petunjuk prestasi utama (KPI) ialah ‘gear up’ iaitu enam GLIC, seluruh kekuatan GLIC melabur sekitar RM120 bilion dalam masa tempoh lima tahun.

“Ini akan menjana pertumbuhan ekonomi selain daripada belanjawan yang diluluskan sekitar RM90 bilion tetapi dimasukkan RM30 bilion tambahan satu tahun, Ini belanjawan pembangunan tertinggi berbanding tahun-tahun yang lalu,” katanya pada sesi Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu turut mengumumkan beberapa pencapaian penting syarikat pelaburan negara.

“Khazanah Nasional Berhad, misalnya, mencatat rekod keuntungan RM5.1 bilion dengan nilai aset bersih RM103.6 bilion.

“Pulangan tahunan Khazanah sebanyak 24.6 peratus diiktiraf oleh Global SWF sebagai antara yang terbaik di dunia.

Tambahnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja turut mencatat pencapaian memberangsangkan dengan kadar dividen 6.3 peratus bagi konvensional dan syariah, yang merupakan kadar tertinggi sejak 2017.

“Sementara itu, Kumpulan Wang Amanah Persaraan merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 12 peratus, yang juga tertinggi sejak penubuhannya,” ujarnya.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan pelbagai inisiatif baharu yang akan dilaksanakan di bawah strategi pelaburan kerajaan, antaranya Pelaburan Khazanah dalam Cambrian Fund sebanyak RM100 juta untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor semikonduktor serta syarikat R&D kecerdasan buatan bertaraf dunia seperti Santiet Corp.

“Dana Perintis RM1 bilion dan Dana Pemacu RM6 bilion bagi menyokong inovasi dan pertumbuhan syarikat tempatan.

“RM300 juta diperuntukkan bagi pembangunan kemudahan penjagaan warga emas di atas tanah wakaf sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan sosial,” ujarnya.

Dalam aspek kebajikan pekerja, kata Anwar, kerajaan menetapkan gaji minimum bagi kakitangan GLIC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM3,100 sebulan.

“Selain itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan RM22.5 juta kepada golongan rentan dan keluarga miskin yang terjejas akibat bencana,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bag menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa minta Menteri Kewangan menyatakan fokus terkini KPI GLC dan GLIC agar sumbangan dividen dan keuntungan operasi dipertingkatkan bagi memastikan pengukuhan anggaran pendapatan Kerajaan Persekutuan 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI