KANGAR – Dua anggota polis dan dua orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sejumlah 240,000 biji mercun bola bernilai RM35,000 pada Sabtu lalu.
Mereka ialah Lans Koperal E. Lohindran, 32, Koperal Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37, serta Nurrul Azizol Mohamad, 40, dan Fairol Izwan Abdul Aziz, 47.
Semua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh bersama dengan yang masih bebas didakwa memiliki bahan letupan tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Taman Kemajuan, di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 15 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor S. Mageswaran manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin setimpal, namun dua peguam yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin rendah.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh serta tarikh sebutan semula kes pada 21 April depan. – KOSMO! ONLINE