fbpx

Cermin kereta pecah dikerjakan 2 beranak ketika jalan sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelaku turut memecahkan cermin sisi kereta mangsa. - Istimewa

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan dua lelaki mengamuk dengan menendang dan mengetuk cermin sebuah kereta ketika kesesakan lalu lintas, lapor laman berita Detik kelmarin.

Kejadian berlaku di Jalan Lingkar Luar Barat, Cengkareng, Jakarta Barat.

Berdasarkan video yang dirakam mangsa dari dalam kereta, dua lelaki tersebut merosakkan kenderaannya serta mendesak dia membuka pintu.

“Dalam kejadian pada waktu malam, pelaku memecahkan cermin sisi kereta, menendang dan mengetuk badan kereta menggunakan topi keledar ketika mangsa berada di dalamnya,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta, Komisioner Kanan Ade Ary Syam Indradi.

Menurut Ade, insiden itu bermula apabila mangsa yang dikenali sebagai BA, membrek secara tiba-tiba ketika motosikal yang ditunggang pelaku, HS berada di belakangnya.

“HS secara spontan mengetuk cermin belakang kereta BA sebelum mangsa turun dari kenderaannya dan memukul pelaku di bahagian bibir,” kata Ade.

Tambahnya, HS kemudian pulang ke rumah lalu memberitahu anaknya mengenai insiden itu sebelum kedua-dua mereka mencari mangsa.

Kata Ade, HS dan anaknya kemudian merosakkan kereta mangsa seperti yang dipaparkan dalam video tular.

“Dua beranak itu memecahkan cermin sisi serta mengetuk badan kereta menggunakan topi keledar sehinggakan cermin kereta turut pecah.

“Tujuan mereka bertindak demikian adalah supaya mangsa bertanggungjawab atas perbuatannya yang terlebih dahulu memukul pelaku,” katanya.

Kedua-dua pihak membuat laporan polis, namun kemudian bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut sesama sendiri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI