TEMERLOH – Gara-gara menampar isteri sebanyak dua kali, seorang lelaki terpaksa beraya di tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan hari ini.
Tertuduh, Shahrul Irzuan Alwi,38, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Tan Chew King.
Pada 18 Februari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Tertuduh didakwa menampar isterinya selepas mengetahui mangsa membuat permohonan cerai kerana tidak tahan dengan sikap panas baran lelaki itu.
Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menampar pipi kanan isterinya yang berusia 39 tahun pada pukul 8.30 malam, 8 Januari lalu di sebuah rumah di Felda Jenderak Utara Kuala Krau, di sini.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nursyazwani Roslan.
Terdahulu, Adriana memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana lelaki itu sepatutnya melindungi isteri selain mengambil kira kecederaan mangsa.
Nursyazwani bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana tertuduh sudah menyesal selain pengakuan bersalah yang menjimatkan masa banyak pihak.
Tambahnya, tertuduh bekerja kampung dengan pendapatan bulanan RM800 dan mempunyai enam tanggungan. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh bermula dari tarikh lelaki itu ditahan. – KOSMO! ONLINE