JOHOR BAHRU – Banjir di negeri ini bertambah buruk apabila mencatatkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,048 orang daripada 308 keluarga setakat pukul 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 893 mangsa daripada 257 keluarga, pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah daripada 10 buah pada 8 pagi tadi kepada 13 PPS pada tengah hari ini yang dibuka di tiga daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Setakat ini enam PPS dibuka di Johor Bahru, empat di Pontian dan tiga di Kulai. Johor Bahru menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan seramai 674 penduduk daripada 202 keluarga dipindahkan.
Sementara itu, Kulai merekodkan seramai 269 penduduk daripada 76 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala Pontian mencatatkan seramai 105 penduduk daripada 30 keluarga dipindahkan ke empat PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE