fbpx

Banjir: ‘Saya sudah tak fikir raya, yang penting selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn, Johor Bahru semalam. – RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – “Saya sudah tak fikir raya, janji selamat.”

Demikian luahan mang­sa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara selepas rumahnya ditenggelami air ekoran hujan lebat dan limpahan Sungai Tebrau sejak dua hari lalu.

Phoon Choi Yoong Abdullah, 75, berkata, bencana alam itu merupakan dugaan di bulan Ramadan dan dianggap yang terburuk di kawasan tersebut.

Mangsa yang tinggal bersama dua cucu hanya mampu melihat arus deras melimpah tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga.

“Saya terkejut dan panik, anak saya pula sedang berpantang bersalin. Sebaik air mula naik, saya arahkan mereka berpindah ke rumah anak seorang lagi di Perumahan Rakyat Taman Desa Mutiara,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi mangsa, Puasa Bero, 63, berkongsi detik cemas air mula naik secara mendadak pada pukul 4 petang kelmarin sewaktu dia sedang memasak.

“Air naik sangat cepat, saya dan suami bersama dua anak tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.

“Kelam-kabut kami mencari jalan keluar sebelum air menenggelamkan rumah hingga paras bumbung,” katanya yang menetap di kampung itu selama lebih 50 tahun.

Sementara itu, suri rumah, Zaleha Bachok, 52, memberitahu, air mula naik sejak pagi semalam selepas hujan turun sepanjang malam. Rumahnya yang terletak di kawasan tinggi turut dinaiki air.

“Depan rumah air sudah naik mencecah paras pinggang, Saya terpaksa berpindah pagi semalam. Malam kelmarin kami berbuka puasa di luar sebab PPS belum dibuka.

“Sepanjang 29 tahun tinggal di sini, (ini) banjir yang paling teruk pernah terjadi, tapi apa boleh buat, kami reda sebab tinggal di kawasan rendah,” katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 3,715 orang daripada 1,106 keluarga di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Pontian.

Setakat ini sebanyak 57 PPS dibuka di lima daerah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI